suria

Rompin Besar Dan Luas, Punca Kempen PRK Nampak Malap - Hishammuddin

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tiga, kanan) bersama calon BN Datuk Hasan Arifin (empat, kanan) beramah mesra dengan isteri-isteri anggota Tentera Udara Diraja Malaysia Kem Skuadron 322 Bukit Ibam, Sabtu.

ROMPIN: Senario kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin kelihatan agak malap tanpa banyak poster dan bendera parti, adalah kerana kawasan itu sangat besar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Rompin yang seluas 5,390.2 kilometer persegi, serta meliputi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman amat sukar dipenuhi dengan poster dan bendera.

"Kekurangan bendera Barisan Nasional (BN) di sepanjang jalan daerah Rompin bukan sebab tidak pasang bendera tetapi daerah ini sangat besar. Ia sebesar negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

"Kami dah pasang tapi daerah besar, jadi bendera nampak kurang," katanya pemberita selepas berjumpa dengan warga skuadron 322 Tentera Udara Diraja Malaysia Bukit Ibam dekat sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas situasi kawasan Rompin yang dilihat agak malap dengan kekurangan bendera BN mahupun PAS bagi PRK itu.

Berikutan dengan keadaan tersebut, Hishammuddin Ketua Pengarah BN bagi PRK Rompin berkata BN terpaksa menggunakan pendekatan yang berbeza bagi mendekati masyarakat Rompin iaitu dengan turun padang dan bersemuka dengan pengundi.

Katanya, BN tidak pernah mengambil mudah pilihan raya kecil ini, sebaliknya menganggap ia cabaran bagi jentera BN untuk meningkatkan majoriti undi di setiap DUN seperti yang diarahkan oleh Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri selepas penamaan calon PRK itu pada Rabu lepas telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap 38 peti daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen itu untuk menambah jumlah majoriti.

Katanya, setiap undi adalah penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan sosioekonomi kawasan Parlimen itu yang telah diusahakan oleh bekas anggota Parlimennya Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

PRK Rompin pada 5 Mei ini diadakan berikutan Jamaluddin terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. Ia menyaksikan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang  disandangnya hampir enam penggal itu mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Ia meliputi jumlah pengundi sebanyak 19,561 di DUN Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394 pengundi) dan DUN Tioman (16,339 pengundi). -- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain