suria

PRK Pmtg Pauh: Calon BN Sedia Hadapi Serangan Peribadi Daripada Lawan

PERMATANG PAUH: Calon muka baharu, Suhaimi Sabudin yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) sedia berhadapan kemungkinan serangan peribadi oleh pembangkang sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan bermula Sabtu ini.

Menyedari taktik serangan peribadi sering digunakan pembangkang untuk meraih undi, Suhaimi yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh berkata, partinya tidak akan terikut-ikut dengan rentak itu dengan membuat serangan balas.

"Mengikut pengalaman pilihan raya lepas, serangan peribadi ini digunakan untuk melemahkan semangat kita.

"Saya kena kuatkan semangat, saya sedia untk menerima segala apa pun. Bagi saya semangat kita adalah untuk terus berjuang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengenalan calon di Pusat Operasi BN di Bandar Perda pada Khamis.

Selain itu ahli perniagaan berusia 44 tahun tersebut menyeru lawannya nanti supaya mengamalkan kempen secara sihat tanpa menjatuhkan maruah mana-mana pihak.

"Sudah semestinya kalau (amalkan) kempen yang bersih ia mencerminkan satu situasi politik yang baik.

"Dalam demokrasi kita tak boleh serang secara individu atau menjatuhkan maruah seseorang," katanya.

Mengulas mengenai pemilihannya, Suhaimi berharap pengundi di Permatang Pauh memberi peluang kepada BN untuk berkhidmat di kawasan itu.

"Saya merayu supaya semua pengundi memberi peluang untuk BN berkhidmat di kawasan ini.

"Kita harapkan sejarah baharu akan tercipta untuk penduduk Permatang Pauh," katanya.

Ditanya mengenai strategi kempen, Suhaimi berkata: "Kita akan masuk ke kampung-kampung, kawasan bandar yang berdekatan dan seluruhnya.

"Sebagai setiausha bahagian saya dah turun ke kawasan dan cawangan. Pendekatan yang sama akan saya gunakan untuk mendekati pengundi secara lebih dekat.

"Selebihnya saya berserah kepada Allah serta dengan sokongan dan semangat juang pasukan yang ada, jentera yang ada," katanya.

PRK Permatang Pauh, BN

Artikel Lain