suria

Pembangkang Buat Tidak Endah Titah Ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Anthony Loke

SEREMBAN: Perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu tampak keliru apabila pihak pembangkang tidak memberikan reaksi terhadap perkara tersebut.

Keadaan tersebut menyebabkan Yang Dipertua DUN, Datuk Dr Awaludddin Said bertanyakan soalan kepada pembangkang terhadap pendirian mereka mengenai titah ucapan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

"Pembangkang...kamu bagaimana? Tidak setuju tidak angkat tangan, berkecuali pun tidak angkat tangan," ujarnya.

Namun pihak pembangkang tetap berdiam diri dan tidak menyatakan pendirian masing-masing.

"Jadi kamu tidak menyokong?," soalnya.

Kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih tidak memberikan jawapan dan terus mengambil sikap berdiam diri dan tidak memberi sebarang reaksi.

Sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah dilakukan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau).

Sementara itu, ketika ditemui selepas tamat persidangan, Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) berkata pihak pembangkang tidak mengangkat tangan bersetuju kerana ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah dasar kerajaan negeri.

"Bukannya kita tidak menghormati Tuanku kerana ucapan Tuanku adalah dasar kerajaan negeri dan dasar negeri ada yang kita setuju dan ada yang tidak kita setuju.

"Jangan salah tafsir dan jangan mana-mana pihak cuba putar belit kita tak hormati Tuanku.

"Sama ada kita nak mengambil bahagian dalam proses pengundian, itu hak kita sebagai ADUN," katanya.

Sementara itu, Mohamad pula berkata titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan disiapkan oleh baginda Tuanku sendiri.

"Rangka ekonomi dan angka-angkanya memang diberikan oleh kita tetapi teksnya disiapkan oleh Tuanku. Itu sebabnya baginda menegur perkhidmatan awam.

"Saya pun hairan. Sebab tu saya bertanya tadi kepada Loke selepas makan tadi, dia pun terperanjat, agaknya dia pun terlepas pandang, dah terlampau biasa tak meyokong, berkecuali, tidak berkecuali sampaikan titah ucapan Tuanku pun tak disokong," katanya.




Artikel Lain