suria

Felda Perkenal Konsep Sewa Beli Bantu Generasi Kedua Miliki Rumah

Mohd Isa menyempurnakan majlis Pecah Tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong Sembilan di sini, Isnin. Dewan Semai Bakti yang bakal dibina untuk anak-anak Felda yang cemerlang di Felda Keratong Sembilan itu diharapkan akan menambah peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.

ROMPIN: Felda, dalam usaha memastikan generasi keduanya mampu memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda, akan memperkenalkan kaedah sewa beli bagi mereka yang bekerja sendiri tanpa mempunyai penyata gaji.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata langkah itu diambil bagi membantu golongan belia yang menjalankan perniagaan sendiri dan tiada penyata gaji untuk memiliki kediaman.

"Mereka boleh sewa dahulu sehingga lima tahun dan jika mereka mempunyai duit yang cukup dalam tempoh masa lima tahun atau selepas tempoh itu, mereka boleh beli rumah itu.

"Felda juga mungkin akan memberi diskaun kepada pembeli dengan mengambil kira beberapa faktor seperti membuat bayaran sewa yang efisien, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Senai Bakti Felda Keratong Satu, kira-kira 80km dari sini, Selasa.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.

Mohd Isa berkata, Felda kini dalam proses membuat pinjaman bank bagi membina 20,000 unit rumah dan akan memulakan kerja pembinaan setelah pinjaman diluluskan.

Katanya, 20,000 unit rumah itu dijangka siap menjelang tahun 2017 atau awal 2018, manakala 9,000 lot rumah telah pun diluluskan sehingga kini.

Selain itu, Felda akan turut mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi menyelia dan menapis pemohon yang layak memiliki rumah tersebut, katanya.

Pada 2013, Felda memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bagi memberi peluang kepada generasi keduanya memiliki rumah.

Mengenai pemberian subsidi daripada kerajaan bagi membolehkan generasi baharu Felda memiliki kediaman, Mohd Isa berkata, ia bergantung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara.-- Bernama

Artikel Lain