suria

Ops Tanduk: Enam Lagi Pegawai Veterinar Ditahan

PETALING JAYA: Usaha membanteras rasuah terus dipergiat apabila enam lagi pegawai veterinar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Ini menjadikan jumlah pegawai veterinar yang ditahan setakat ini ialah 12 orang.

Enam tangkapan terbaharu ini membabitkan individu berusia antara 20an dan 50an ditahan di beberapa lokasi di Johor Baru.

Salah seorang yang ditahan ialah pegawai kanan dari Koperasi Kakitangan Veterinar Johor Berhad.

Menurut sumber, mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bersubahat memalsukan dokumen untuk pembayaran dan bekalan yang dikatakan dari pembekal program  Pinjaman Induk Tanpa Faedah  (Pintaf).

Sebelum ini enam pegawai bertugas di pejabat veterinar di Johor Baru, Kluang, Segamat dan Kulaijaya juga telah ditahan kerana tuduhan rasuah dan pemalsuan dokumen.

Kesemua mereka dibebaskan selepas memberi kenyataan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SPRM Johor menjalankan Ops Tanduk berikutan aduan daripada orang ramai mengenai rasuah yang melibatkan bekalan lembu dan kerbau kepada penternak Pintaf.

Suruhanjaya itu dijangka membuat lebih banyak tangkapan tidak lama lagi bagi membantu siasatan.

Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias ​​mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed ketika dihubungi melahirkan kekesalan terhadap perkara itu.

"Daripada apa yang saya tahu, tangkapan yang dibuat oleh SPRM adalah untuk menyiasat aduan pengadu," katanya.

Ismail menambah bahawa beliau percaya SPRM untuk menjalankan tugas dan mengambil tindakan sewajarnya jika mereka didapati menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak bertanggungjawab.

Program ini mendapat peruntukan tahunan RM3 juta daripada kerajaan di bawah pengawasan veterinar negeri, tambah Ismail.

Ops Tanduk, Veterinar, SPRM

Artikel Lain