suria

PRK Permatang Pauh: Umno Sedia Bawa Pembangunan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) bersama penerima Anugerah Khidmat Cemerlang KDN di Serdang, Khamis.

SERDANG: Kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dikuasai pembangkang hampir 16 tahun lepas masih memerlukan pembangunan infrastruktur, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pertukaran anggota Parlimen Permatang Pauh daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak membawa banyak perubahan di kawasan parlimen berkenaan.

"Kesedaran dalam kalangan pengundi semakin terbuka kerana sedar bahawa banyak pertukaran anggota parlimen Permatang Pauh tetapi tidak banyak perubahan di kawasan itu. Sebagai kawasan parlimen terletak di negeri pembangkang, secara asasnya mereka masih memerlukan pembangunan infrastruktur.

"Pada hemat saya, Permatang Pauh telah lama ketinggalan. Jika anggota parlimen dipilih dari Umno dan Barisan Nasional (BN), tentu ada saluran yang dapat kita gunakan bagi membawa pembangunan di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, sebelum itu menghadiri majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini. Pada majlis itu, sebanyak 395 petugas KDN menerima APC.

Anwar merupakan anggota Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 atas tiket BN, sebelum dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999, dan kerusi tersebut dimenangi oleh Dr Wan Azizah pada pilihan raya umum ke-10, November 1999.

Dr Wan Azizah terus mempertahankan kerusi itu sebelum meletak jawatan pada 31 Julai 2008, bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Permatang Pauh pada Ogos, 2008.

Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 September 2004, tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa dari tarikh pembebasan.

Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Pengarah PRK Permatang Pauh berkata beliau akan dibantu oleh Ahmad Zahid.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata semua parti komponen BN perlu mengambil langkah proaktif untuk memenangi minda dan hati pengundi di Permatang Pauh.

"Kesiapsiagaan UMNO dan BN serta perpaduan semua ahli di akar umbi penting selain mendekati pengundi dan menjelaskan pelbagai isu bagi mencapai kemenangan di Permatang Pauh," katanya.

Apabila ditanya calon pembangkang di Permatang Pauh mungkin diisi Wan Azizah, Zahid berkata: 'kita sedia menghadapi sesiapa calon yang bakal bertanding'.

"Ia bukan satu permasalahan besar. Sesiapa yang bertanding, UMNO dan BN akan hadapi dengan penuh kesiapsagaan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas, yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu, Anwar melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.-- Bernama


Artikel Lain