suria

Tan Sri Shukry Mohd Salleh Dilantik Ketua Setiausaha Sulit PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan di sini pada Rabu ini berkata Shukry menggantikan Allahyarham Datuk Azlin Alias yang terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Semenyih 4 April lepas.

Shukry telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 37 tahun dan mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 19 Sept 1977.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Dasar Sosial, University of Hull, Britain dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik , Universiti Sains Malaysia.

Ali berkata Shukry berpengalaman luas dalam bidang pengurusan keselamatan, pembangunan serta pengurusan di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan menerusi kerjaya perkhidmatannya selama ini.

Jawatan yang pernah disandang Syukri, 60, termasuk Penolong Setiausaha Kementerian Pertahanan; Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah; Pengarah Jabatan Pendaftaran Perak; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan (Kesedar) dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah UPP Jabatan Perdana Menteri pada 25 Sept 2009.

Ahmad Zaki Anrose Mohd Yusof

Sementara itu, Ali berkata Ketua Pengarah Unit Pemulihan Pasca Banjir JPM, Datuk Ahmad Zaki Anrose Mohd Yusof dilantik sebagai Ketua Pengarah UPP bagi menggantikan Shukry juga berkuat kuasa pada 16 April.

Ahmad Zaki Anrose, 57, mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Polisi dari Universiti Saitama, Jepun selain memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dan menyertai perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Jan 1983.

"Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewangan, ekonomi, pengurusan awam dan pengurusan pembangunan sosial menerusi pelbagai jawatan yang pernah disandang sepanjang perkhidmatan," kata Ali.

Nik Ali Mat Yunus

Antara jawatan yang pernah disandang Ahmad Zaki Anrose adalah Penolong Setiausaha Bahagian Analisis Ekonomi Kementerian Kewangan; Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Industri Kementerian Perusahaan Utama dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelarasan Projek Khas, Unit Penyelarasan JPM sebelum dilantik ke jawatan semasa pada 5 Feb lalu.

Ali berkata tempat Ahmad Zaki Anrose akan digantikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pusat Transformasi Penyampaian UPP JPM, Datuk Nik Ali Mat Yunus, 56, yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun.

"Saya berkeyakinan bahawa kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki ketiga-tiga pegawai mampu membawa organisasi masing-masing ke tahap kecemerlangan lebih tinggi dalam menjayakan wawasan serta aspirasi negara," kata Ali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain