suria

Sepasang Kekasih Ditahan Aktif Samun, Ragut & Curi Kenderaan

KOTA BARU: Polis menahan sepasang kekasih dipercayai anggota kumpulan 'Stopa Pohon Seto' yang aktif menjalankan kegiatan samun, ragut serta curi kenderaan di negeri ini, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian pada 12.20 malam Ahad, anggota Cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bertindak menahan sebuah kenderaan yang dinaiki dua suspek berusia 43 dan 28 tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, di sini.

"Ketika ingin menjalankan pemeriksaan, suspek cuba melarikan diri dan bertindak ganas kerana cuba melanggar anggota polis.

"Tindakan berkenaan menyebabkan anggota polis itu melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki suspek menyebabkan suspek turut melanggar kenderaan pacuan empat roda milik polis sebelum berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Mazlan berkata hasil pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek itu, pihaknya merampas sebilah pedang, dua botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah, wang tunai sebanyak RM1,000 serta beberapa barangan lain.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam lapan kes samun, ragut serta curi kenderaan di negeri ini.

Salah seorang suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau," katanya.

Mazlan berkata suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba bunuh yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun.

Selain itu, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara serta denda, jika sabit kesalahan.
rompak, kekasih

Artikel Lain