suria

Polis Tidak Halang Kebebasan Bersuara - KPN

KUALA LUMPUR: Polis tidak pernah menyekat kebebasan bersuara rakyat termasuk untuk mengadakan perhimpunan tetapi ia harus mengikut undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata untuk mengadakan perhimpunan, berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 penganjur perlu memohon lokasi yang sesuai untuk berhimpun dan setelah diberi kebenaran mereka boleh bersuara untuk menyatakan hak mereka.

"Ini yang saya mahu agar penganjur memohon mendapatkan tempat yang sesuai, polis akan memastikan keselamatan orang ramai yang menyertai perhimpunan tidak diganggu gugat.

Cuma ingin saya ingatkan agar berhati-hati dalam menyatakan hak kita untuk bersuara, jangan sampai melanggar mana-mana peraturan dan undang undang," katanya kepada pemberita selepas satu majlis sempena peringatan hari polis  ke-208 di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai 'Himpunan Derita Rakyat' yang akan diadakan bagi membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) anjuran Dewan Ulama PAS di Padang Merbuk esok.

Perhimpunan terbabit mendapat kelulusan dan polis membenarkan pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya masih menunggu laporan analisis kotak hitam berhubung tragedi helikopter terhempas di Semenyih.

"Pegawai saya masih berada di London dan menunggu laporan analisis itu siap," katanya.

Dalam kejadian pada 4 April lalu kira-kira 4.55 petang, sebuah helikopter Dauphin AS3655N2 terhempas dan terbakar di sebuah kebun getah di Kampung Sungai Pening, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor.

Nahas itu mengorbankan enam orang termasuk Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengesan dan mengenal pasti puak ekstremis yang mungkin berkhidmat dalam tentera, selain agensi kerajaan yang lain.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tangkapan dua anggota tentera daripada 17 orang yang disyaki militan pada Ahad lalu.

KPN, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain