suria

Sultan Pahang Ziarah Pusara Allahyarham Jamaluddin Jarjis

Sultan Ahmad Shah sebak ketika menziarahi pusara Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis selepas Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin di Makam Pahlawan Masjid Negara di sini, Khamis.

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menziarah pusara Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini, Khamis.

Baginda yang tiba pada 9.10 pagi disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Pahang turut menyertai bacaan tahlil dan yasin diketuai Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Turut berangkat anakanda baginda, Tengku Puteri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman.

Hadir sama balu Allahyarham Jamaluddin, 64 , Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan anak lelaki tunggal beliau Ikhwan Hafiz.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan barisan exco negeri Pahang juga turut hadir.

Jamaluddin, Anggota Parlimen Rompin dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), merupakan seorang daripada enam mangsa yang terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaiki mereka terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4.55 petang Sabtu lepas.

Turut maut dalam nahas itu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razkan Seran, juruterbang Kapten Clifford William Fournier dan kenalannya Aidana Baizieva, warga Kyrgyzstan.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri kenduri kahwin anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev. -- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain