suria

Benjy dan Rakan Didakwa Edar Dadah

Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim, 37, atau Benjy (kiri) dan rakannya, Raja Shariff Hidayatullah Raja Shariffudin, 27, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Muar pada RAbu, atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 1.3 kilogram.-Foto BERNAMA.
MUAR: Seorang pelakon dan rakannya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis "methamphetamine" pada 27 Mac lepas.

Khaeryll Benjamin Ibrahim, 37, atau lebih dikenali sebagai Benjy bersama  rakannya Raja Shariff Hidayatullah Raja Sharifudin, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua  tertuduh itu.

Mengikut pertuduhan, pada tarikh berkenaan, kedua-dua mereka dengan niat bersama telah mengedar dadah berbahaya disyaki methamphetamine seberat 1.32 kilogram.

Kedua-dua tertuduh ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak, Jalan Pagoh-Muar kira-kira pukul 1.40 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Mohd Syafiq kemudiannya menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes berkenaan untuk mendapatkan laporan kimia.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain manakala kedua-dua tertuduh diwakili Aqeeb Lizalman Nordin Zamery dan Farhan Read.


Benjy, edar dadah

Artikel Lain