suria

152 Pelajar Malaysia Di Yaman Kini Selamat Di Jeddah

P Kamalanathan

KUALA LUMPUR: Seramai 152 pelajar Malaysia di Yaman, kini dilaporkan selamat berada di Jeddah, Arab Saudi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar kini sedang menguruskan perjalanan pulang pelajar terbabit ke Malaysia.

Semua pelajar terbabit dikeluarkan dari Yaman berikutan pergolakan di negara itu, katanya kepada Bernama selepas majlis merasmikan program "3rd Mathematics in Industrial Study Group Malaysia (MISG 2015)", di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, Isnin malam.

Pada Ahad, Bernama melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Sana'a dan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh serta Konsulat Jeneral di Jeddah memulakan fasa pertama usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman.  Seramai 108 rakyat Malaysia dari Sana'a dan 44 dari Hudaidah telah dipindahkan melalui jalan darat ke Arab Saudi.

Fasa kedua melibatkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Aden dan wilayah Hadramaut.-- BERNAMA

Yaman, Jeddah, MISG, Kamalanathan, MKN

Artikel Lain