suria

Nahas Helikopter: Pasukan Siasatan Kumpul Enjin, Komponen Kecil

Pegawai-pegawai penyelamat dan penyiasat bekerja keras memeriksa bangkai pesawat di lokasi nahas helikopter di Kampung Pasir Baru Semenyih dekat Semenyih, Isnin. Foto BERNAMA

SEMENYIH: Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) terhadap kes nahas helikopter di sini pada Sabtu lalu, berjaya mengumpulkan satu daripada dua enjin dan beberapa komponen kecil bangkai helikopter itu, pada hari ketiga operasi, Isnin.

Kumpulan AAIB bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Dr Ismail Bakar turut serta dalam misi operasi di tapak nahas petang Isnin.

"Satu lagi komponen enjin helikopter itu akan dikeluarkan bersama sebahagian yang lain esok," kata jurucakap AAIB yang ditemui Bernama selepas selesai operasi pada Isnin.

Terdahulu, kumpulan forensik dari Bukit Aman seramai 11 anggota yang diketuai Supt Soo Me Thong  membawa keluar lima bungkusan plastik putih dari tapak nahas di Kampung Sungai Pening pada sebelah petang.

Soo berkata, kumpulannya memasuki lokasi nahas sejak 2.30 petang. 

"Kami (forensik) menjumpai beberapa barangan peribadi mangsa berhampiran enjin helikopter. 

"Antara barang yang ditemui adalah pakaian lelaki dan wanita, beg dan sebuah telefon bimbit Lenovo," katanya. 

Dalam kejadian Sabtu lepas, helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang membawa enam orang terhempas di kawsan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang. 

Kesemua mereka terkorban. 

Mereka ialah anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias; juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pengawal peribadi kepada Jamaluddin, Razakan Seran; usahawan Datuk Tan Huat Seang; dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizeva.

Artikel Lain