suria

Audit: PDRM Berjaya Sediakan 63,963 Kuaters

KUALA LUMPUR: Lebih 60 peratus pegawai dan anggota  Polis Diraja Malaysia (PDRM) disediakan kemudahan tempat tinggal.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1, sehingga kini, sebanyak  63,963 (69.6 peratus) unit kuarters disediakan kepada anggota terbabit dalam usaha mempertingkatkan kebajikan mereka.

Menurut laporan berkenaan daripada jumlah itu kuarters untuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman/Kontinjen (46,589), Pasukan Gerakan Am (11,939), Pusat Latihan (2,517), Pasukan Simpanan Persekutuan (1,682), Pengkalan Marin PDRM 1,179 dan Pengkalan Udara PDRM (57).

Bagaimanapun laporan itu berpendapat masih terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian antaranya peruntukan khas tidak disediakan PDRM bagi penyenggaraan kuarters setiap tahun.

Peruntukan kewangan berkaitan penyenggaaran kuarters adalah terlalu rendah kerana hanya kurang 9.2 peratus dibelanjakan berbanding keseluruhan di bawah Penyenggaraan Dan Pembaikan Kecil Yang Dibeli (kod OS28000).

"Justeru, PDRM disyorkan mengkaji semula keperluan peruntukan kewangan berkaitan perkara itu," menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam maklum balas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 19 Jan lepas menyedari bahawa peruntukan belanja mengurus bagi amat kecil, namun mulai tahun ini peruntukan pembangunan sebanyak RM100 juta yang disediakan diharap dapat dimanfaatkan untuk perbelanjaan menyenggara.

Laporan turut mendedahkan terdapatnya pemalsuan dan penipuan terhadap dokumen pembayaran dalam pengurusan perolehan perabot bagi cadangan pembangunan semula Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam, Johor.

Perkara itu disebabkan terdapatnya kawalan dalaman yang sangat lemah sehingga menyebabkan berlakunya pemalsuan dokumen sokongan dalam pembayaran dan 'improper payment'.

"Sehubungan itu, pihak KDN dan PDRM perlu menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat perkara berkenaan," menurut laporan itu.

KDN turut disyorkan mengenakan tindakan tatatertib atau surcaj terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan perolehan tersebut.

Sementara itu, maklum balas yang diperoleh daripada KDN, hasil siasatan awal mendapati terdapatnya kelemahan dalam perancangan menyebabkan perolehan dilaksanakan walaupun perabot belum boleh digunakan kerana bangunan dijangka siap pada Mac 2015.

Polis, PDRM

Artikel Lain