suria

Harga Kupon Tambah Nilai Prabayar Kembali Ke Asal Bulan Depan

Pegawai Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) Wan Azlinda Wan Osman menunjukkan perbezaan resit pembelian isian semula kad telefon prabayar dari dua syarikat telekomunikasi yang berbeza ketika meninjau perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Rabu lalu. Sebelah kiri menunjukkan tiada dikenakan GST manakala kanan menunjukkan terdapat caj GST yang dikenakan.

SHAH ALAM: Harga kupon tambah nilai prabayar akan kembali kepada harga sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula bulan depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata perkara itu diputuskan dalam pertemuan kementeriannya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan empat syarikat telekomunikasi (telco) pada Jumaat.

"Semalam, syarikat telco telah memutuskan, setelah berbincang dengan kastam, untuk mengekalkan harga RM10.60 (contoh bagi kad prabayar RM10) tetapi mendapat bonus 'air time' bernilai hingga RM1.30.

"Namun setelah menerima bantahan daripada rakyat, saya mengadakan satu lagi mesyuarat bersama telco untuk mengubah keputusan tersebut kepada pengekalan harga RM10 ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Proton Holdings Bhd, di sini.

Beliau juga mengulangi bahawa kupon tambah nilai prabayar itu sememangnya dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar enam peratus sebelum ini.

Justeru katanya harga tidak sepatutnya berubah apabila GST dilaksanakan.

Beliau turut menegaskan perkhidmatan agensi kerajaan termasuk agensi penguatkuasaan dan badan berkanun tidak tertakluk kepada GST.

Ahmad mengulas aduan yang tersebar menerusi laman sosial mengenai seorang pelajar dikenakan GST dalam kes saman universiti terhadap dirinya.

"Tiada GST yang dikenakan ke atas saman kerana ia adalah perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan, kecuali perkhidmatan itu ialah perkhidmatan perniagaan seperti tempat parkir kereta oleh majlis-majlis perbandaran, sebagai contoh," katanya.

GST, Telco, Ahmad Maslan, Kad Prabayar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain