suria

Anwar Bukan Lagi Ahli Parlimen - Speaker

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan lucut kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, demikian menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurut Pandikar Amin, kekosongan kerusi Permatang Pauh mula berkuat-kuasa sejak 16 Mac lalu.

"Dimaklumkan bahawa saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima suatu surat yang memaklumkan keputusan petisyen pengampunan bagi Yang Berhormat Permatang Pauh pada 1 April.

"Dalam hal ini, petisyen pengampunan ini telah diputuskan pada 16 Mac bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah diteruskan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu menurut Pandikar Amin, notis mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu mengikut Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Pandikar Amin sebelum ini mengesahkan menerima salinan petisyen bagi suatu pengampunan yang difailkan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Petisyen pengampunan yang difailkan pada 24 Februari lalu itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Anwar, 67, setelah menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, kini berumur 30 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dewan Rakyat

Artikel Lain