suria

Malaysia Sasar Pingat Pertama Di WSC Sao Paulo 2015

PUTRAJAYA: Malaysia menyasarkan pingat pertamanya dalam penyertaan World Skills Competition (WSC) 2015 di Sao Paulo, Brazil pada 11 hingga 16 Ogos depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Dr Ghalip Spahat berkata, Malaysia yang membuat penampilan bagi kali ke-12 sejak 1993 bakal menyertai 19 daripada 54 bidang kemahiran dipertandingkan dalam kejohanan dianjurkan setiap dua tahun sekali itu.

Beliau berkata, bidang kemahiran tersebut termasuk mekatronik; elektronik; masakan; teknologi fesyen; teknologi automobil; kimpalan serta pemaipan dan pemanasan.

Katanya, Malaysia akan disertai kontinjen seramai 70 orang termasuk 20 peserta, pakar dan jurulatih dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran awam.

"Kita sasarkan mampu membawa pulang pingat sama ada emas, perak atau gangsa dalam penyertaan kali ini kerana persiapan secara bersungguh-sungguh telah dilakukan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Ghalip berkata, peserta yang berjaya membawa pulang pingat emas bakal menerima insentif wang tunai berjumlah RM40,000 serta sebuah kereta tajaan Proton manakala RM20,000 bagi pingat perak dan RM10,000 bagi pingat gangsa.

Katanya, peserta yang menerima "medallion for excellence", iaitu mereka yang memperoleh markah terkumpul melebihi 500 mata pula bakal menerima insentif berjumlah RM4,000.

Penyertaan Malaysia di WSC 2013 di Leipzig, Jerman merupakan pencapaian terbaik negara setelah berjaya memperoleh sembilan "medallion for excellence" daripada 14 bidang kemahiran yang disertai.

WSC, Ghalip Spahat, Sao Paulo

Artikel Lain