suria

PAS Tetap Akan Bentang Usul Pinda Akta Mahkamah Syariah

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: PAS Pusat akan membentangkan usul persendirian di Parlimen untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berhubung peruntukan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah beragama Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usul itu melibatkan pindaan Jadual 9 (Akta 355) berhubung undang-undang jenayah syariah negeri Kelantan untuk memberikan kuasa kepada mahkamah syariah menghukum umat Islam mengikut kadar yang diperuntukkan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ia supaya bidang kuasa jenayah mahkamah berkenaan di seluruh negara dipertingkatkan berbanding yang ditetapkan pada masa ini.

"Ia tidak memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen tetapi mendapat sokongan Ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti politik.

"Saya akan membentangkan usul ini sebelum sidang Parlimen kali ini berakhir 9 April depan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.

Mengenai sokongan usul di Parlimen, Hadi meminta supaya orang bukan Islam memberi laluan kepada umat Islam sebagai hak terhadap Perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan.

Pada masa ini, seramai 136 Ahli Parlimen beragama Islam.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, usul itu berdasarkan Aturan 49 Peraturan Mesyuarat (Standing Orders) terhadap pindaan peruntukan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah.

"Sekarang ini Seksyen 2 menyatakan bahawa bidang kuasa mahkamah syariah di Malaysia hanya boleh menghukum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan sahaja.

"Itu sahaja bidang kuasa mahkamah rendah, tinggi dan rayuan syariah. Maka usul ini untuk pindaan Akta Mahkamah Syariah supaya hukuman dipertingkatkan berdasarkan syariah Islam. Parlimen hendak putuskan berapa...berapa... itu nanti kita lihatlah," katanya.

Beliau turut membuat perbandingan dengan bidang kuasa mahkamah majistret yang mengenakan hukuman lebih tinggi iaitu penjara lima tahun, denda RM10,000 dan 12 sebatan.

"Itu baharu mahkamah paling rendah, sedangkan mahkamah sesyen boleh kenakan sampai penjara seumur hidup dan hukuman mati bagi mahkamah tinggi.

"Sebab itu perlu diusulkan di Dewan Rakyat dengan 'simple majority'. Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja," katanya.

Mesyuarat khas PAS pada Isnin dihadiri pimpinan pusat antaranya Timbalan Presiden parti, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.


Artikel Lain