suria

DAP Tak Upaya Pengaruhi Ahli PAS Tolak Hadi

Zairil Khir Johari

KUALA LUMPUR: DAP menolak tuduhan kononnya mereka sedang membuat percaturan tentang masa depan politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS menjelang pemilihan parti itu Jun ini.

Tegas pimpinan sekutu PAS itu, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi dibuat kerana kedegilan pemimpin tertinggi PAS itu mengemukakan rang undang-undang persendirian berhubung hudud di Parlimen.

Malahan, kata kepimpinan DAP, parti itu tidak berupaya mempengaruhi ahli PAS supaya menolak Hadi sebagai presiden.

“Ini adalah antara DAP dan PAS, keputusan dibuat apabila melihat tindakan Hadi berkaitan rang undang-undang hudud.

"Bagaimana kami mahu melakukannya (pengaruh ahli PAS). Kami tidak pernah cuba mahu mempengaruhi pemilihan mana-mana parti," kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari ketika ditemui di Parlimen, pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai pandangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa tindakan DAP yang hanya memutuskan hubungan dengan Hadi dan bukannya PAS secara keseluruhannya sebagai 'tekanan luar' kepada presiden PAS itu.

Selain itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi turut melahirkan pandangan sama kerana DAP mahu supaya ahli PAS memilih presiden baharu yang lebih ‘mesra’ DAP.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming turut menegaskan bahawa DAP tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pemilihan PAS.

“Tiada kena mengenai dengan kami. DAP tidak mampu mempengaruhi ahli PAS. Ahli PAS perlu putuskan sendiri (pilih presiden),” katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa supaya Hadi meninggalkan Pakatan Rakyat jika mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung hudud di Dewan Rakyat.

Gesaan itu dibuat sebaik sahaja kepimpinan DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi, namun pada masa sama mahu meneruskan komitmen mereka dalam pakatan pembangkang.


DAP, Abdul Hadi Awang, hudud, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain