suria

Hukum Hudud: DAP Khianati Pengundi - Tee Yong

Chua Tee Yong.
PETALING JAYA: DAP mengkhianati pengundi dengan menggambarkan  PAS sebagai sebuah 'parti yang berubah' apabila parti itu tetap ingin melaksanakan agenda hudud, kata Datuk Chua Tee Yong.

"DAPlah yang mengkhianati pengundi dan bukannya PAS yang mengkhianati DAP," kata Naib Presiden MCA itu dalam sidang media pada Rabu.

Beliau teringat kembali kata-kata pemimpin DAP di Labis bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

"Jelas sekali ini adalah harapan palsu kerana mereka telah menandatangani perjanjian yang diterbitkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Dalam perjanjian itu, ia jelas menyatakan bahawa DAP menyedari PAS akan terus memperjuangkan agenda untuk melaksanakan hukum hudud," katanya.

Chua berkata demikian bagi mengulas kenyataan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang menegaskan parti itu memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana hilang kepercayaan terhadapnya.

"Saya tidak tahu bagaimana beliau akan berhenti bekerjasama dengan presiden sebuah parti kerana Abdul Hadi dipilih oleh ahli PAS yang bermaksud mereka memberi kuasa kepadanya untuk melaksanakan apa yang terdapat dalam perlembagaan parti.

"Pelaksanaan hudud bukan agenda peribadi Abdul Hadi, ia adalah agenda PAS. DAP tidak mahu mengakui bahawa mereka telah mengkhianati pengundi dengan menggambar imej berbeza PAS dalam dua pilihan raya terdahulu," katanya.

Ketika ditanya mengenai pendirian Barisan Nasional berhubung hudud, Chua berkata parti komponen telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.

"Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak akan menyokong pelaksanaan hukum hudud dan saya menggalakkan Ahli Parlimen lain untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung isu ini," katanya.

Chua Tee Yong, DAP, hudud

Artikel Lain