suria

DAP Diminta Henti Campur Tangan Dalam Urusan Agama Islam

KOTA BAHARU: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) meminta DAP berhenti campur tangan dalam urusan agama Islam khususnya menentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau undang-undang hudud, qisas dan takzir di Kelantan.

Presidennya Che Azmi Mohd Ali berkata undang-undang berkenaan adalah hak orang Islam yang tidak perlukan campur tangan pihak lain.

"Hentikanlah campur tangan atau apa bentuk pendapat yang boleh cetuskan ketegangan kaum kerana ini urusan orang Islam.

"Ini (campur tangan) kerana tindakan tersebut boleh mencetuskan kacau bilaudan perkara yang di luar jangkaan dalam sekelip mata sahaja," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya berkata kaum lain perlu menghormati orang Melayu dan agama Islam yang diamalkan di negara ini sepertimana yang dilakukan orang Melayu kepada kaum lain.

Dalam perkembangan sama, Che Azmi berkata PAS perlu mengambil pendirian meninggalkan pakatan pembangkang jika ia menjadi halangan kepada pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan kelak.

"Sepatutnya PAS sudah lama sedar dan meninggalkan pakatan berkenaan kerana seperti yang kita maklum sekarang jelas mereka (PAS, DAP, PKR) tidak sehaluan.

Khamis lepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini selepas 44 anggota dewan sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu. -BERNAMA
DAP, Hudud, Campur tangan

Artikel Lain