suria

Polis Tahan Empat Geng 36 Terlibat Kes Tembak

Abdul Rahim (kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah menunjukkan dua pistol yang dirampas ketika operasi menahan anggota kumpulan kongsi gelap pada sidang media, Ahad.

GEORGE TOWN: Polis menahan empat lelaki yang merupakan anggota kongsi gelap 36 dan merampas dua pucuk pistol bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki mati ditembak di Jalan Scotland di sini pada  2 Mac lepas.

Ketua Polis Negeri, Datul Abdul Rahim Hanafi berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, polis berjaya mengesan empat lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Perak pada pukul 6 petang, Sabtu.

"Mereka yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur berjaya ditahan di kawasan R and R berkenaan dan susulan penahanan tersebut, polis menyerbu sebuah rumah yang disewa seorang daripada mereka di Taman Seri Bistari di Nibong Tebal dekat sini.

"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui dua pucuk pistol bersama 18 butir peluru dan polis percaya satu daripada pistol itu digunakan dalam kejadian tembak di Jalan Scotland," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Dalam kejadian tembak itu, mangsa berusia 51 tahun dan bekerja dengan syarikat pengawal keselamatan mati ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal ketika kereta yang dipandu mangsa berhenti di lampu isyarat.

Susulan kejadian itu, tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan ditahan di George Town dan Butterworth.

Abdul Rahim berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan itu mengaku terlibat dalam kejadian tembak tersebut.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku disebabkan urusan  perniagaan dadah antara geng kongsi gelap tersebut.

"Tiga lelaki yang ditahan itu telah dibebaskan dan kami percaya dengan penahanan empat lelaki lagi yang masing-masing tidak bekerja serta bekerja sendiri itu, pihak polis dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati mereka yang ditahan turut terlibat dalam kejadian bunuh seorang remaja lelaki di Kampung Manis, Perai  bulan lepas.

Mereka yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau turut terlibat dalam beberapa kes tembak dan bunuh di Kedah, Perak, Kuala Lumpur serta Selangor, katanya.-- Bernama

Artikel Lain