suria

NGO Buat Laporan Polis, Desak Tony Pua Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh badan bukan kerajaan (NGO) pada Rabu membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di laman Twitternya, Isnin lepas.

NGO berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC).

Presiden MJMM Datuk Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO itu berkata mereka membuat laporan polis terhadap Pua kerana kenyataan Pua dalam Twitternya itu merupakan satu penghinaan yang melampau dan biadap terhadap pemerintah negara.

"Kami mengharapkan polis mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap individu berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Isnin lepas, Pua memuat naik di laman Twitter @tonypua dengan menyebut "Bastards. Real Bastards. Royal my foot" berkaitan tindakan polis menahan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam dua kes berkaitan Akta Hasutan, dengan kemudian menyuntingnya dengan hanya menyebut "Bastards".

Pada hari yang sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitternya @KBAB51 berkata polis akan memanggil Pua bagi menjelaskan status yang dimuat naiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

Polis, Tony Pua

Artikel Lain