suria

Ahli Parlimen BN Isytihar Harta Kepada PM - Shahidan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah mengisytiharkan harta dan liabiliti masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengesahkan perkara itu, Shahidan berkata pengisytiharan tersebut dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sudah, kami semua sudah mengisytiharkan harta…itu memang amalan kita.

"Kita sudah isytihar awal-awal dahulu, kita isytihar kepada perdana menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Terdahulu, Ahli Parlimen veteran BN, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Najib dan barisan anggota Kabinetnya supaya mengisytiharkan harta dan liabiliti masing-masing dalam usaha membuktikan pentadbiran kerajaan sedia ada mengamalkan tatacara pemerintahan yang baik.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, pengisytiharan harta turut perlu merangkumi ahli Kabinet dan Ahli Parlimen dahulu dan sekarang.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada Selasa, Razaleigh menegaskan bahawa pengisytiharkan harta mestilah dilakukan secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen.

Dewan Rakyat, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain