suria

Kastam Sasar 17,000 Syarikat Daftar CBP Sebelum April

Khazali Ahmad (kiri) menyampaikan anugerah kepada wakil pemenang Platun Terbaik iaitu Platun Enam di Majlis Penutup Kursus Asas Penguasa Kastam Siri 1/2015 di Akademi Kastam Melaka, Isnin.

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan 17,000 syarikat lagi mendaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebelum sistem percukaian baharu itu laksanakan 1 April depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata sehingga hari ini sebanyak 352,263 syarikat di seluruh negara mendaftar di bawah CBP, dan yakin sasaran 370,000 syarikat mendaftar sehingga akhir bulan ini, tercapai.

"Dengan tempoh berbaki ini, kita perlu pastikan sistem cukai ini berjalanlancar, dan kita akan terus mengenal pasti syarikat yang masih belum berdaftar melalui operasi khusus dinamakan 'Ops GST'.

"Operasi ini kita sudah mulakan pada 1 Mac lepas dan hampir 5,000 syarikat telah kita daftarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Penguasa Kastam Siri 1/2015 di Akademi Kastam Melaka pada Isnin.

Beliau berkata pelaksanaan 'Ops GST' akan diteruskan sehingga tiga bulan selepas pelaksanaan CBP bagi membolehkan lebih banyak syarikat mendaftar.

Sementara itu, Khazali berkata pihaknya sedia berbincang dengan pihak berkaitan mengenai bayaran profesional untuk perundingan doktor di hospital swasta yang dikenakan CBP.

"Perbincangan itu akan berlangsung Rabu ini (18 Mac), dan buat masa ini masih tiada apa-apa keputusan sehinggalah kita berbincang nanti," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Dr S. Subramaniam sebelum ini berkata pihaknya akan mewakili doktor hospital swasta untuk menyampaikan pandangan mereka berkaitan isu itu kepada JKDM.

Fraterniti perubatan sebelum ini turut berhasrat untuk memulakan tindakan guaman terhadap kerajaan yang berhasrat mengenakan CBP dalam bayaran kepada doktor bagi perundingan dan prosedur di hospital swasta. 

Kastam, CBP

Artikel Lain