suria

Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan Bukan Ganti ISA - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Alaihuddin Mohd Taha ketika menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia itu di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri pada Selasa. Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) hanya akan digunakan ke atas tindakan keganasan sahaja dan bukan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata semua pihak terutama pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk hak asasi manusia tidak perlu khuatir kerana kerajaan tidak akan menyalahgunakan akta itu.

"Hanya tindakan keganasan tertakluk di bawah akta berkenaan dan jika ada sebarang perbezaan pendapat politik, ia tidak terangkum dalam undang-undang itu.

"Tidak perlu khuatir kerana ia seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 di mana kuasa eksekutif Menteri Dalam Negeri tidak akan diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei di Malaysia Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Tahadi pejabatnya, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa POTA akan disalah guna untuk kepentingan pihak tertentu.

POTA yang digubal khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad susulun perhimpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur pada petang Sabtu lepas, Ahmad Zahid berkata semua pihak harus menghormati peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Menurutnya, pihak polis terpaksa mengambil tindakan sewajarnya berikutan keengganan penganjur perhimpunan mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah akta itu termasuk memohon permit sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan.

"Saya sering tekankan sistem demokrasi boleh disalurkan melalui platform seperti pentas, di Parlimen atau media sosial dan bukan dengan cara melanggar undang-undang.

"Saya harap ini dapat difahami tetapi lainlah jika mereka ingin mendapatkan liputan media antarabangsa dan portal-portal berita bahawa Malaysia tidak demokratik, tidak aman dan sebagainya," katanya.

Nik Nazmi ditahan selepas hadir memberi keterangan mengenai perhimpunan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pagi Ahad.

Perhimpunan pukul 4 petang Sabtu di ibu negara itu disertai penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melahirkan sokongan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang sedang menjalani hukuman penjara berikutan kesalahan meliwat. 

POTA, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain