suria

Pota Diperlukan Untuk Keselamatan Negara - Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) amat diperlukan bagi menangani ancaman keganasan di negara ini.

"Saya rasa kita memerlukan undang-undang pencegahan dalam usaha  membanteras keganasan yang berlaku di dalam negara.

"Tuanku turut mengingatkan kita soal keselamatan negara dan ancaman militan Negara Islam (IS) adalah sesuatu yang harus ditangani bersama," katanya ketika diminta mengulas mengenai ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Isnin.

Jelas beliau, titah Tuanku memperlihatkan keseriusan baginda yang mahu isu keganasan ditangani semua pihak.

"Ini sudah tentunya, baginda mahu semua pihak termasuk pembangkang harus memberikan sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan untuk membanteras ancaman kumpulan militan sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Terdahulu, Seri Paduka bertitah baginda menyambut baik usaha berterusan memperkukuhkan kawalan keselamatan dan kesejahteraan awam khususnya dalam menangani ancaman pengganas di Sabah dan penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat seperti kegiatan militan IS.

"Lanjutan daripada pembentangan Kertas Putih berhubung ancaman militan, kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang berhubung anti-keganasan.

"Beta menyeru agar rakyat berwaspada dengan propaganda golongan ini dan mengawasi ahli keluarga masing-masing agar tidak terpedaya dengan dakyah menyalahgunakan konsep jihad atas nama agama," titah Seri Paduka.

Ahmad Zahid berkata, akta baharu itu nanti membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana anggota IS rakyat Malaysia atau negara lain yang datang ke negara ini.

Pota, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Lain