suria

Lelaki Maut, Seorang Parah Kereta Langgar Pokok

KOTA KINABALU: Seorang penumpang maut manakala pemandunya cedera parah setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kopungit Jalan Pintas berhampiran Hospital Queen Elizabeth kira-kira 5.30 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata mangsa lelaki berumur 20-an itu maut di tempat kejadian ekoran tersepit di bahagian tempat duduknya.

"Pemandu kenderaan berkenaan seorang lelaki berumur 28 tahun parah apabila tercampak keluar dari kenderaan dan seorang penumpang lagi hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata kereta jenis Toyota Silika yang dinaiki tiga mangsa itu dipercayai dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Kepayan.

Sementara itu, polis mengeluarkan 55 notis saman kepada pengguna atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi samseng jalanan dan mabuk yang bermula 11.30 malam tadi dan berakhir 6 pagi Ahad.

Chandra berkata polis turut menahan dua lelaki berumur 23 dan 28 tahun kerana memandu secara berbahaya dan melulu.

"Sebanyak 18 buah motosikal turut dirampas," katanya.

Beliau berkata polis memeriksa 10 buah kenderaan, 20 motosikal dan 35 individu termasuk lima wanita sepanjang operasi tersebut.


kemalangan, maut

Artikel Lain