suria

Umrah Modus Operandi Baru Untuk Sertai Militan IS

KUALA LUMPUR: Kini terdapat individu yang merancang menyertai kumpulan militan IS melalui ibadat umrah.

Mendedahkan modus operandi terbaru ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, maklumat itu diperolehi hasil kerjasama serta perkongsian maklumat dengan negara-negara tertentu termasuk anggota-anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

"Ada perkara sudah kita ketahui tentang cara-cara digunakan mereka yang ingin menyertai gerakan militan Negara Islam (IS).

"Ada juga dikesan pergi umrah tetapi bila sampai di Madinah mereka 'hilang'," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Zainuddin berkata, kementeriannya akan meneruskan kerjasama dengan negara luar bagi mengetahui lebih mendalam cara-cara digunakan kumpulan itu, dan seterusnya mengekang penularan gerakan militan IS.

Kini terdapat 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria dan daripada jumlah itu seramai 10 orang adalah wanita manakala jumlah tangkapan terkini di negara ini terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan IS mencecah 71 orang.

Selain itu, Hamzah berkata, kementerian bersedia membantu individu yang terlibat dengan gerakan militan IS untuk berubah dan memperbaiki kesilapan.

"Bila mereka kembali semula ke negara ini, kita akan cuba bantu perbaiki ideologi serta fahaman mereka.

"Kalau tersilap atau tersalah kita bantu perbetulkannya," katanya.

Justeru itu, kementerian menyeru rakyat negara ini yang berada di Syria supaya mendapatkan bantuan kedutaan Malaysia di negara berdekatan.

Terdahulu, Hamzah menghadiri program Wacana Perdana "Islam Rahmatan Lil'Alamain: Antara Hakikat dan Realiti" oleh Rektor Universiti Pattani Jaya, Thailand Dr Ismail Lutfi.

Di IPOH, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh menyarankan institusi pengajian tinggi menubuhkan pasukan bagi memberi kefahaman menyeluruh berkaitan Islam kepada pelajar.

Menurut beliau tidak memahami Islam secara menyeluruh adalah antara punca penuntut universiti mudah terpengaruh dengan anasir luar sekali gus menganggotai kumpulan militan IS.

"Mereka lihat konsep jihad itu sempit sebab itulah perkara sedemikian berlaku.

"Kementerian akan memastikan perkara ini tidak berulang dan akan menyebarkan kefahaman tasawwur Islam dengan lebih menyeluruh dan wassatiyah seperti yang diutarakan Perdana Menteri.

"Sebenarnya Perdana Menteri telah mula menggunakan konsep wassatiyah dalam Islam dengan menggunakan indeks syariah Islam supaya kita memahami Islam dengan lebih menyeluruh, tidak dalam kaca mata yang sempit," katanya.

Idris ditanya pemberita berhubung tindakan kerajaan bagi memastikan penuntut universiti tidak terlibat dalam kumpulan IS.

Terdahulu, beliau menghadiri program 'To Sir With Love' bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri itu juga menyeru Naib Canselor agar sentiasa memantau penuntut mereka agar tidak terjebak dalam aktiviti sedemikian.

Mengulas permintaan Kesatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar Kementerian Pendidikan mengkaji pemberian insurans kepada guru, beliau berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.

IS, umrah, Hamzah Zainuddin, OIC

Artikel Lain