suria

Tukar Ketum Kepada Akta Dadah Berbahaya 1952, Hukuman Lebih Berat

KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan daun ketum termasuk yang diproses menjadi air rebusan perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa, kerana ia boleh mengancam keselamatan negara pada masa akan datang jika tidak ditangani sejak awal.

Penyalahgunaan daun ketum ketika ini diletakkan di bawah Akta Racun 1952, sedangkan air rebusan daun ketum boleh menjejaskan sistem saraf pusat manusia dan berupaya menjadikan seseorang itu ketagih kerana mengandungi "mitraginin" yang tahap ketagihannya sama teruk dengan dadah jenis morfin.

Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Datuk Mohd Johari Baharum berkata ketiadaan undang-undang khusus yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjualan ketum menjadi antara faktor peningkatan kes penyalahgunaan bahan terlarang itu khususnya di kalangan golongan muda di negara ini.

"Pengambilan air ketum secara berpanjangan boleh mengundang maut kerana mengikut kajian yang dibuat sejenis getah yang terdapat pada daun ketum boleh mendatangkan kerosakan pada sistem saraf badan manusia," katanya pada Selasa.

Beliau berkata bahaya penyalahgunaan ketum adalah sama dengan pengambilan dadah dan perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Kes penyalahgunaan ketum dilihat semakin serius di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia, Terengganu dan Pahang dan ia dikhuatiri akan terus merebak ke negeri-negeri lain.

"Kami di Pemadam kecewa apabila pihak berkuasa tidak menyegerakan proses mewartakan penyalahgunaan ketum dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan penjual dan pengguna ketum dikenakan tindakan yang sewajarnya seperti mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya.

Mohd Johari berkata undang-undang yang sedia ada di bawah Akta Racun 1952 tidak mampu lagi membendung perkara ini kerana peruntukan denda maksimum RM2,000 kepada pemilik daun ketum gagal menakutkan orang ramai daripada terus menjual mahupun terus menggunakan bahan terlarang itu.

Beliau berkata ada penjual air ketum tidak rasa takut untuk menjualnya di tempat awam malah ia dijual seperti menjual air minuman di tepi jalan sahaja kerana kadar denda yang dikenakan tidak seberapa bagi mereka sedangkan jumlah pendapatan yang diperolehi lebih tinggi daripada itu.

"Bagi mereka (penjual ketum) denda maksimum RM2,000 tidaklah seberapa, malah ada antara mereka menjadi kaya raya selepas menjadi penjual air ketum," katanya.

Mohd Johari berkata lebih membimbangkan lagi daripada maklumat yang diperolehi oleh Pemadam, terdapat kegiatan penyeludupan daun ketum oleh warga tempatan ke Thailand kerana kerajaan Thailand mengharamkan penanaman, penjualan dan penggunaan daun ketum.

"Di Thailand, pihak berkuasa akan tebang pokok ketum selain mengenakan denda 500 baht (RM61) bagi sehelai daun ketum kerana mereka sedar bahaya penyalahgunaan daun ketum bukan hanya dari segi kesihatan malah mampu mengancam keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata berbeza di Malaysia kerana masih tiada undang-undang bagi melarang penanaman pokok ketum.

Ketum, Pemadam

Artikel Lain