suria

Nota Mangsa Bunuh Bantu Polis Tahan Suspek

KOTA BARU: Nota yang sempat ditulis mangsa bunuh telah membantu polis menahan seorang suspek yang dipercayai membunuhnya yang merupakan isteri seorang anggota sukarelawan polis di Kampung Batu Papan, Gua Musang pada Ahad.

Nota itu sempat ditulis mangsa ketika dia dirawat di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata berdasarkan nota tersebut, pihak polis berjaya menjejaki suspek yang tinggal di kampung bersebelahan dan dikenali kebanyakan penduduk di situ.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Tanah Putih petang Ahad.

"Tangkapan dibuat dalam masa 12 jam dari masa kejadian selepas polis mendapat satu nota yang sempat ditulis mangsa di hospital sebelum dia meninggal dunia," katanya.

Mazlan berkata suspek yang tidak bekerja dan positif dadah turut disyaki mengambil wang sebanyak RM250 daripada mangsa sebelum melarikan diri.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 8 Mac.

Beliau berkata pihaknya percaya dengan penahanan suspek berusia 22 tahun itu, ia dapat menyelesaikan kes pembunuhan tersebut.

Mangsa Yashmin Fauzi, 26, ditemui suaminya dalam keadaan separuh sedar di depan rumah sewa mereka dengan lehernya berlumuran darah dipercayai akibat dikelar, kira-kira 2.30 pagi.

Dia kemudian dibawa suaminya ke hospital bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi.

nota, bunuh

Artikel Lain