suria

Lelaki Maut Ditembak Di George Town

Gambar hiasan.
GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut ditembak dari jarak dekat di Jalan Scotland di sini malam Isnin.

Mangsa yang berusia 51 tahun dan bekerja dengan syarikat pengawal keselamatan ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal ketika dia berhenti di lampu isyarat pada pukul 9.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah berkata suspek telah menghampiri kereta Honda Odyssey mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan.

"Lebih lima tembakan yang dilepaskan dari sebelah kanan kereta mangsa mengenainya menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes curi.

Polis menemui beberapa kelongsong dan peluru hidup 9mm di tempat kejadian.

Mazlan berkata mangsa memandu kereta berkenaan bersama seorang lagi lelaki  berusia 24 tahun yang juga mempunyai rekod jenayah.

"Mereka dikatakan datang dari kuil berhampiran dan dalam perjalanan pulang ke Perai," katanya.

Rakan mangsa itu yang merupakan peniaga tidak cedera dan sedang disiasat.

Beliau berkata polis mengenal pasti nombor plat motosikal yang dinaiki suspek dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pihak polis.

tembak, George Town

Artikel Lain