suria

Pengawal Keselamatan Tidak Tahu Kesan Pengakuan, Minta Penjelasan Mahkamah

KUALA LUMPUR: "Saya tidak tahu apa akan jadi jika saya mengaku atau tidak mengaku terhadap pertuduhan yang dikenakan kepada saya," 
kata seorang pengawal keselamatan dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat. 

Berikutan itu, Majistret Nur Azura Murah menjelaskan dengan terperinci perkara itu kepada Mohd Sukeri Mohameed, 36, yang didakwa atas tuduhan mencabul seorang wanita berumur 28 tahun di stesen LRT Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada 8.40 pagi, 5 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada
hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

"Kalau awak mengaku salah, mahkamah boleh teruskan dengan menjatuhkan hukuman, tetapi sekiranya awak tidak mengaku bersalah, awak boleh lantik peguam dan teruskan untuk bicara kes ini.

"Mengikut Seksyen 354 itu,  hukumannya adalah dua daripada tiga yang ada,  tidak semestinya awak kena sebat dan penjara sahaja, atau sebat dan denda. Awak boleh juga dikenakan hukuman penjara dan denda  tanpa sebat bergantung kepada fakta kes dan budi bicara mahkamah," jelas majistret itu.

Mohd Sukeri mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh.

Ketika diberi peluang membuat rayuan berhubung jaminan itu, Mohd Sukeri  yang tidak diwakili peguam memberitahu dia tidak tahu bagaimana hendak membuat
rayuan dan sekali lagi Nur Azura menjelaskan kepadanya.

Tertuduh memberitahu mahkamah dia telah bercerai dan perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak.

Nur Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain