suria

Cederakan Warga Emas: Pemandu Teksi Dipenjara & Denda RM8,000

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencederakan seorang warga emas menggunakan kabel besi, seorang pemandu teksi dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis. 

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas G. Giva, 43, setelah dia mengaku bersalah mencederakan Lai Moon, 77, dan jika gagal membayar denda tersebut dia diperintah menjalani hukuman penjara 10 bulan.

Giva, didakwa melakukan kesalahan menggunakan kabel besi pengunci tayar motosikal di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Dang Wangi, di sini, pada pukul 3.30
petang, 3 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, mangsa melintas jalan di persimpangan lampu isyarat yang ketika itu menunjukkan isyarat lampu merah namun tertuduh yang memandu sebuah teksi tidak berhenti tetapi meneruskan pemanduannya.

Mangsa kemudian telah menunjukkan isyarat lampu merah kepada tertuduh menyebabkan tertuduh marah lalu memberhentikan kenderaannya dan memukul mangsa menggunakan tangan sebelum bertindak mengambil batang besi dan memukul pengadu di bahagian kepala, muka, tangan kanan dan jari kanan.

Terdahulu, Giva dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan mempunyai penyakit kencing manis.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh telah mencederakan seorang warga emas.

Artikel Berikut

Artikel Lain