suria

Kes Demam Denggi Di Selangor Meningkat 66 Peratus

SHAH ALAM: Kes demam denggi di Selangor terus menunjukkan peningkatan dengan 12,427 kes direkod sehingga 21 Feb, naik 66 peratus daripada 7,507 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Daroyah Alwi berkata daripada jumlah kes itu sebanyak 29 kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

"Pada bulan Jan, jumlah kematian akibat demam denggi adalah sebanyak 17 kes manakala untuk bulan ini sehingga 21 Februari pula mencatatkan 12 kes yang mana menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah sebanyak 29 kes," katanya dalam sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata daerah Petaling masih mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu 5,967 diikuti Hulu Langat dengan 2,222 kes dan Klang sebanyak 1,824 kes.

Mengulas lanjut, Daroyah berkata tapak pembinaan dikenal pasti menjadi faktor utama menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes terutamanya di daerah yang mencatatkan kes demam denggi yang tinggi.

"Berikutan itu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan operasi bersepadu di tapak-tapak pembinaan sekitar Selangor bermula 10 Feb lalu, bagi membendung peningkatan kes denggi selain mengurangkan risiko jangkitan.

Daripada 46 lokasi yang telah diperiksa, 45 daripadanya didapati positif dengan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Beliau berkata berikutan itu pemaju tapak pembinaan terbabit akan dikenakan tindakan mahkamah kerana kesalahan membenarkan pembiakan serangga pembawa penyakit di lokasi berkenaan. 

Demam denggi, Selangor

Artikel Sebelum

Ugut Bunuh: Khalid Tak Gentar

Artikel Lain