suria

Muhyiddin Lancar Pelan Transformasi Minda 2015-2020

Muhyiddin bersama Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Abdul Rahman Dahlan selepas majlis pelancaran Pelan Tranformasi Minda ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera di Putrajaya, Selasa.

PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Minda Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera 2015-2020 dilancarkan pada Selasa yang menggariskan pelbagai strategi dan tindakan komprehensif dengan objektif menjadikan Malaysia tersenarai sebagai 10 negara terbersih di dunia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melancarkan pelan itu di sini, berkata satu daripada agenda utamanya adalah untuk memacu Malaysia ke status negara maju, menyemai minda kelas pertama dan budaya sivik yang cemerlang.

"Kita berharap masyarakat dapat melihat secara mata hati keperluan memelihara alam sekitar, mengutamakan kebersihan, kelestarian dan keindahan persekitaran serta menghargai sisa pepejal sebagai satu daripada sumber ekonomi kepada masyarakat," katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelan itu.

Melalui pelan itu, beliau berkata, adalah diharapkan kedudukan Malaysia dapat ditambah baik daripada tangga ke-51 kini kepada 10 negara yang terbersih di dunia menjelang 2020.

Dalam ucapan pelancaran pelan itu, Muhyiddin menyentuh mengenai minda, sikap dan tabiat rakyat Malaysia dalam konteks penjagaan kebersihan persekitaran dan pemeliharaan alam sekitar yang masih perlu diberi perhatian serius.

"Sikap kurang prihatin dan bertanggungjawab ini menyebabkan jalan raya dan tempat-tempat awam dicemari sampah dan memerlukan pembersihan dilakukan setiap hari.

"Secara keseluruhannya, kerajaan telah membelanjakan lebih RM1.4 bilion bagi kos perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pada 2014 sahaja," jelas Muhyiddin.

Nadzirah Mohd Khir, 22, membaca buku Pelan Tranformasi Minda ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, Selasa.

Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kitar semula akan tetapi amalan ini masih belum mencapai sasarannya.

Kadar kitar semula nasional hari ini hanya berada di tahap 10.5 peratus sahaja daripada jumlah bahan buangan yang dilupuskan, berbanding negara maju yang melebihi 40 peratus, jelas beliau.

Beliau berkata dengan amaun bahan yang dibuang ke tapak pelupusan setiap tahun dianggarkan sebanyak 2.3 tan dengan nilai mencecah RM900 juta, pastinya peningkatan kadar kitar semula akan membawa manfaat besar dari segi penggunaan semula sumber dan peningkatan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menetapkan secara mandatori pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat mulai September ini.

"Saya dimaklumkan kutipan sisa yang diasingkan akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dan dijalankan sepenuhnya di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selain Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah," katanya.

Menyentuh tentang amalan kitar semula boleh menjana pendapatan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menyeru sekolah yang masih belum menubuhkan Kelab Kitar Semula supaya melaksanakan langkah tersebut.

Langkah berkenaan sekali gus dapat menyokong usaha kerajaan dalam mendidik dan meningkatkan amalan kitar semula supaya sasaran pengurangan sisa ke tapak pelupusan sebanyak 40 peratus dapat dicapai menjelang 2020, katanya. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain