suria

Pencawang TNB Terbakar, Tiga Pekerja Cedera

KUALA LUMPUR: Tiga pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera setelah sebuah pencawang elektrik yang sedang diselenggara berhampiran sebuah kondominium di Taman Sri Jati di sini dilapor terbakar pada Isnin malam.

Komponen elektrik dalam pencawang itu dipercayai meletup dan apinya menyambar ketiga-tiga pekerja berkenaan dalam kejadian pukul 10.55 malam tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun dua daripadanya kemudiannya dipindahkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

Sementara itu TNB dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan memastikan tiga pekerja teknikalnya itu yang cedera semasa melakukan kerja-kerja 'pensuisan' menerima rawatan terbaik.

Bantuan serta kemudahan akan turut dihulurkan kepada keluarga mangsa sepanjang mangsa menjalani rawatan, katanya.

Menjelas lanjut kejadian itu, Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB, Datuk Ir Lim Yew Soon berkata ketiga-tiga pekerja tersebut mengalami kecederaan serius apabila 'pancaran arca' berlaku ketika pemulihan bekalan dibuat selepas selesai kerja penukaran alat suis di Pencawang Elektrik di Jalan Klang lama.

Mereka ialah Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, Mohd Ruzairi Ghazali, 34, dan Norizan Abdullah, 59.

"Kami amat bersimpati di atas kejadian yang menimpa mereka. Kemalangan seperti ini merupakan risiko yang dihadapi warga kerja kami dalam memberikan bekalan elektrik yang terbaik kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata siasatan mengenai punca kejadian masih diteruskan.

TNB, Pencawang

Artikel Berikut

Artikel Lain