suria

10 Lelaki Rancak Berjudi Ditahan

TAIPING: Polis menahan 10 lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam dua serbuan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, minggu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Ismail Che Isa berkata serbuan yang dilakukan sempena Ops Limau membabitkan sepasukan pegawai serta anggota polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) dan cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.

"Dalam serbuan pertama pada 18 Feb lepas di Taman Pertama, Aulong, polis menahan enam lelaki berusia lingkungan 40-an dan seorang lelaki berusia 50-an, yang merupakan penjaga premis berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata polis turut merampas sebelas unit komputer riba serta beberapa peralatan perjudian dan wang tunai sebanyak RM750.

"Serbuan kedua pula dilakukan di Taman Bukit Mas, Kamunting. Tiga lelaki yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 50-an dan polis turut merampas lima buah komputer," katanya.

Ismail berkata rampasan itu dianggar bernilai RM20,000 termasuk wang tunai.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis berdepan denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya.

Katanya kesemua individu yang ditahan juga disyaki terlibat menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen mengikut Seksyen 11(3) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Perak 1997 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya.

"Kami memandang serius kegiatan mesin judi berkomputer dan tidak akan bertolak ansur serta mengambil tindakan keras sekiranya mana-mana pihak cuba melanggar dan tidak mematuhi undang-undang," katanya.

Taiping, Polis, Judi

Artikel Lain