Geng Jack Tumpas, 30 Kenderaan Curi Dirampas - Semasa | mStar

Geng Jack Tumpas, 30 Kenderaan Curi Dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan geng curi kenderaan dikenali 'Geng Jack' yang aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang berikutan penahanan tiga anggota kumpulan itu termasuk dalangnya pada 13 Feb lepas.

Selain penahanan tiga suspek berusia 27 hingga 45 tahun itu menerusi Ops Lejang, polis turut merampas 30 buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, ditahan di tepi jalan sekitar Rawang kira-kira pukul 3 petang ketika mereka sedang menghampiri sebuah kenderaan curi yang diletakkan di tepi jalan.

"Tangkapan susulan melibatkan seorang lagi lelaki di sebuah hospital di Rawang pada hari yang sama," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Ali berkata modus operandi kumpulan yang telah aktif sejak tahun lepas itu adalah dengan menaiki kenderaan sendiri sebelum meninggalkan kenderaan mereka di lokasi untuk melarikan kenderaan yang disasarkan.

"Mereka selalunya sasarkan kenderaan yang diletakkan di depan rumah, di tepi jalan dan kawasan tempat letak kereta kemudian mereka tinggalkan kereta mereka di lokasi dan bawa lari kereta sasaran sebelum datang semula ke lokasi untuk mengambil semula kereta mereka.

"Kereta yang telah dicuri itu kemudiannya juga akan diletakkan di tepi-tepi jalan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa. Mereka juga akan meleraikan kenderaan untuk menjual komponen kenderaan itu sebagai alat ganti," katanya.

Ali berkata kumpulan itu hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melarikan kenderaan dengan menggunakan 'master key', tambahan pula seorang daripada anggota kumpulan itu bekerja sebagai penarik kereta.

Katanya dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes curi serta gaduh, dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki kumpulan tersebut.

Polis , Gombak

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain