suria

Rafizi Pelawa KJ Berdebat

PETALING JAYA: Naib Presidn Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendesak Ketua Pemuda Umno supaya memberanikan diri untuk berdebat mengenai kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi berkata beliau menggesa Khairy agar tampil kehadapan dan tidak menarik diri untuk membersihkan nama Umno yang didakwa terlibat sebagai dalang sebalik penghakiman kes Anwar.

"Saya juga mengambil kira kenyataan Menteri Komunikasi dan Mutlimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan kesediaan beliau menyediakan satu platform bagi mana-mana pihak yang ingin berdebat mengenai konspirasi politik dan penghakiman kes liwat Anwar.

"Saya menyeru supaya Shabery tidak gentar dan terbuka menyediakan platform tersebut dengan format debat serta moderator yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak serta perdebatan perlu disiarkan secara langsung untuk mengelakkan daripada disunting," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau tidak gentar untuk berdebat dengan sesiapa sahaja mengenai kes tersebut.

"Jika bukan Khairy, saya teringin untuk berdebat dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan, kalau boleh dengan syarat disiarkan secara langsung.

Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata satu laporan akan dibuat terhadap Tan Sri Shafee Abdullah kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara supaya tindakan diambil terhadap beliau kerana mengadakan siri jelajah ceramah ke seluruh negara untuk menjelaskan mengenai kes liwat yang dihadapi Anwar bukanlah satu konspirasi politik.

Shafee dilantik peguam negara sebagai timbalan pendakwa raya secara ad-hoc dalam kes perbicaraan Anwar di Mahkamah Persekutuan.

Beliau dikritik peguam dan pemimpin pembangkang kerana terus menyerang Anwar itu walaupun telah dipenjarakan.

Anwar sepanjang perbicaraan kes liwat yang dihadapinya mendakwa perbicaraan kali kedua itu merupakan konspirasi kerajaan untuk mengheretnya ke penjara.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu menolak rayuan sabitan Anwar dan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebatan. Ia dibaca bersama Seksyen 337A Kanun Keseksaan, yang mensabitkan kesalahan liwat dan seks oral. 


PKR, Liwat, Debat

Artikel Lain