suria

MH17: Rusia Hargai Pendirian Berkecuali Malaysia

KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia yang berkecuali semasa tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) tahun lepas menjadi tonggak bagi hubungan persahabatan yang berterusan antara Malaysia dan Rusia, kata Duta Rusia di Malaysia yang akan tamat tempoh perkhidmatan, Lyudmila G. Vorobyeva.

Beliau berkata Rusia menghargai pendirian Malaysia berhubung perkara itu dan mengulangi kerjasama untuk membantu siasatan dengan apa cara yang mungkin.

"Kami telahpun menyediakan data malah daripada sumber risikan kami, daripada Kementerian Pertahanan kami kepada pasukan penyiasat, dan kami fikir dalam hal ini, Malaysia mempunyai peranan besar untuk dilaksanakan, tambahan pula pesawat dan syarikat penerbangan (MAS) itu milik Malaysia dan penumpang warga Malaysia juga berada di dalam pesawat," katanya.

Vorobyeva berkata demikian kepada Bernama dalam wawancara 'perpisahan' di sini baru-baru. Beliau kembali ke negaranya minggu lepas.

"Memang menjadi hasrat kami dan kami tahu Malaysia juga mempunyai hasrat agar hasil siasatan rasmi berkaitan tragedi bersifat telus dan tidak berat sebelah dan kami mahu masyarakat dunia tahu apa yang (sebenarnya) berlaku kepada (penerbangan) MH17," kata Vorobyeva.

Beliau berkata tragedi itu tidak mengubah hubungan antara Malaysia dan Rusia, sebaliknya menekankan tentang pentingnya mengekalkan hubungan persahabatan yang baik antara kedua-dua negara.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat malang Boeing 777-200ER itu ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu tetapi sehingga kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap insiden.

Dalam pada itu, Vorobyeva yang berkhidmat sebagai Duta di Malaysia sejak Julai 2010, melahirkan rasa sedih untuk meninggalkan negara ini.

"Malaysia sebuah negara yang indah dan saya gembira tinggal di negara ini.

Tetapi sekarang adalah masa untuk berpisah; ia sebahagian daripada tugas, walau terlalu sayang sekalipun kepada sesebuah negara tetapi lambat-laun anda perlu beredar jua," katanya sambil menambah bahawa beliau akan merindui Malaysia.

Beliau yang kagum dengan keindahan alam semula jadi Malaysia seperti pantai, gunung dan hutan, menambah bahawa apa tidak dapat dilupakan ialah persahabatan yang beliau jalin semasa berkhidmat di negara ini.

Sementara itu, mengenai cadangan perjalanan tanpa visa untuk rakyat Malaysia, Vorobyeva berkata perbincangan masih dijalankan dan berharap Rusia akan menyelaraskan perjanjian dengan Wisma Putra kerana ia dapat mewujudkan kerjasama yang lebih baik dalam sektor kemanusiaan, pelancongan dan perniagaan.

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang melancong ke Rusia perlu memohon visa manakala pelancong Rusia ke Malaysia boleh tinggal di negara ini tanpa visa sehingga 30 hari.

Beliau berkata ketibaan pelancong Rusia ke Malaysia meningkat kira-kira 20 hingga 30 peratus setiap tahun, dan dianggarkan 80,000 pelancong melawat Malaysia tahun lepas.

MH17, MAS, Rusia, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain