suria

NAHRIM Sedia Kaji Konsep Rumah Terapung

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bersedia menjalankan kajian mendalam mengenai keberkesanan konsep rumah terapung untuk dibangunkan di kawasan sering dilanda banjir, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ir Ahmad Jamaluddin Shaaban. 

Beliau berkata rumah terapung atau yang dikenali sebagai rumah amfibia, seperti yang dibina di Belanda, mungkin boleh dibangunkan bagi mengelakkan kerosakan harta benda yang teruk akibat ditenggelami air. 

"Sekiranya air naik, rumah itu akan terapung tetapi ia mempunyai kaedah pembinaan tertentu dan reka bentuk perlu betul bagi mengelakkan ia hanyut.

"Tidak semua tempat perlu dibina rumah terapung... kita perlu keluarkan panduan tentang bagaimana hendak membangunkan dan mengguna pakai serta di manakah tempat yang boleh dibangunkan rumah sebegitu," katanya ketika diwawancara Bernama baru-baru ini.

Ahmad Jamaluddin berkata langkah lain yang boleh diambil untuk meminimumkan impak banjir termasuklah membina rumah atau bangunan di atas tiang tinggi.

"Rumah di atas tiang pula perlu dikaji daripada sudut ketinggian yang sesuai untuk setiap kawasan... NAHRIM juga boleh jalankan kajian dan simulasi bagi tujuan ini," katanya.

Cadangan rumah bertiang tinggi ini selari dengan rancangan kerajaan dalam pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah sepenuhnya akibat bencana itu.

Pada Januari, kerajaan mengemukakan dua model rumah - binaan terus di atas tanah dan model di atas tiang setinggi 2.44 meter dengan keluasan 660 kaki persegi atau 61.31 meter persegi bernilai RM48,000 seunit - bagi membantu mereka.  

Sementara itu, Ahmad Jamaluddin berkata pembinaan di kawasan yang berisiko banjir perlu dielakkan, tetapi sekiranya terpaksa, pembangunan tersebut perlu menekankan reka bentuk yang 'mesra' banjir.

"Jika mahu dibuat pembangunan juga di kawasan rendah itu, jangan jadi penghalang laluan air kerana rumah boleh tenggelam. Infrastruktur rumah perlu adaptasi banjir, seperti rumah terapung atau tiang tinggi," katanya. 

Rumah terapung, NAHRIM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain