suria

Miros Nafi Mitos 'Minyak Penuh Tangki Meletup'

PETALING JAYA: Mesej teks yang sedang tersebar menerusi aplikasi mesej telefon pintar yang mendakwa tangki yang diisi penuh dengan petrol mungkin meletup akibat gelombang haba pada masa kini telah dibuktikan palsu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros)  Profesor Wong Shaw Voon berkata, khabar angin itu adalah tidak benar, memandangkan teknologi serta penyelidikan semasa telah memikirkan langkah-langkah keselamatan untuk memastikan tangki dapat menampung petrol dengan selamat.


"Industri automotif ... biasanya akan mereka bentuk bahagian-bahagian yang mampu bertahan dalam pelbagai persekitaran. Sebagai contoh, keadaan cuaca di Malaysia, walaupun ia tidak sepanas cuaca di Timur Tengah atau musim panas di Amerika Syarikat," katanya.

"Terdapat banyak keperluan yang diletakkan, dan menjadikan kereta berada dalam keadaan lebih selamat dan semakin selamat. Bahkan ketika mengepam minyak ke dalam kenderaan dalam penggunaan biasa, adalah sangat tidak mungkin untuk ianya meletup," katanya.

"Terdapat juga mekanisme 'penutupan automatik' dalam reka bentuk pam yang akan menghentikan pengisian selepas petrol mencapai had tangki," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat sebahagian pemandu yang terus mengisi minyak kenderaan mereka walaupun selepas pam secara automatik 'menutupnya' kerana telah mencapai kapasiti maksimum tangki - satu amalan yang tidak digalakkan.

"Anda tidak perlu melepasi had atau anda akan berdepan limpahan petrol," katanya.

Mesej teks berkenaan secara palsu menasihati orang ramai untuk mengisi tangki minyak mereka kepada takat separuh kapasiti, dengan menyatakan bahawa tekanan haba akan menyebabkan tangki minyak yang penuh meletup.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor  Mohd Sani Harul juga menafikan mesej yang mendakwa terdapat lima kejadian kenderaan dengan tangki penuh meletup disebabkan oleh haba dan kepanasan.

Artikel Lain