suria

Selangor Tiada Hak Batalkan Kidex - Faekah

Faekah Hussin
PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan projek Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) kerana perjanjian itu telah dicapai di antara kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Hussin berkata, kerajaan negeri hanya ditugaskan untuk menyediakan tanah dan tidak terlibat dalam perjanjian itu.

"(Menteri Besar) Azmin Ali mungkin telah menggunakan istilah yang salah apabila beliau berkata, projek itu dibatalkan. Beliau bukan orangnya yang menandatangani perjanjian itu.

"Kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan untuk pembangunan tanah yang ada dalam bidang kuasa negeri.

"Kerajaan negeri hanya diberi kuasa untuk memberikan lampu hijau kepada penggunaan tanah tersebut, itu sahaja," katanya ketika dihubungi.

Faekah berkata dengan mengumumkan 'pembatalan' perjanjian itu, Pakatan Rakyat yang menerajui Selangor telah terdedah kepada tindakan undang-undang.

"Tetapi saya berharap agar keputusan ini dibuat selepas menganalisis laporan semua pihak yang berkepentingan, bukan hanya berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri," kata Faekah, yang sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata ketika Khalid menjadi menteri besar, beliau telah menggariskan syarat dan pra-syarat yang perlu dipenuhi negeri ini untuk mengeluarkan kelulusan pembangunan.

Terdahulu pada Isnin, Menteri Besar Selangor Azmin Ali mengumumkan pembatalan projek kontroversi berikutan kegagalan pemaju untuk memenuhi tiga syarat yang ditetapkan pada tarikh akhir 14 Februari.

Kidex merupakan lebuhraya bertingkat 14.9km, yang boleh mencapai enam hingga lapan tingkat dan bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan sebanyak 25 peratus antara Damansara dan Kinrara.

Ketua Komunikasi Strategik Kidex Sdn Bhd Datin Hasnah Abd Rahman, ketika dihubungi, berkata mereka menyedari perkembangan terkini ini.

"Kami akan mengeluarkan satu kenyataan dalam masa yang sewajarnya," katanya.

Khalid tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Kidex, Faekah Hussin, MBI, Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain