suria

Mustapa Lontar Pandangan Peribadi, BN Tidak Perlu Letak Calon PRK DUN Chempaka

Mustapa Mohamed.
KOTA BAHARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata secara peribadi beliau berpandangan mungkin  Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Ini kerana tumpuan perlu diberi kepada kerja pemulihan pasca banjir di negeri ini, kata Mustapa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bencana Banjir Negeri Kelantan.

"Itu pandangan peribadi. Saya belum bincang dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa dan Badan Perhubungan Umno Negeri untuk mendapatkan pandangan mereka (mengenai PRK itu)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pasca banjir di sini hari ini.

Mustapa mengulas persiapan Umno Kelantan untuk menghadapi PRK itu berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Khamis, akibat kanser prostat.

Mustapa menarik perhatian bahawa banyak kerja perlu dilakukan dalam  pemulihan pasca banjir seperti pembinaan rumah yang hilang atau membaiki rumah rosak akibat musibah itu Disember lepas, di samping memastikannya dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau juga berkata dalam usaha pasca banjir ke arah membantu rakyat,  seelok-eloknya tumpuan diberi kepada mengeratkan hubungan dan mengelak pergeseran yang membawa kepada perpecahan.

"Kebiasaannya bila ada pilihan raya akan ada pergeseran, perbalahan, isu keselamatan. 

Pada pandangan peribadi saya, demi mengelak perpecahan dan pergeseran, kita tumpukan kepada usaha pemulihan pasca banjir," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata perbincangan dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa dan Badan Perhubungan Umno Kelantan mungkin diadakan dalam tempoh seminggu dua lagi.

Beliau berkata hasil perbincangan itu nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN untuk membuat keputusan muktamad.

Mustapa bagaimanapun berkata: "Sebenarnya terlalu awal bercakap mengenai pilihan raya kecil ini kerana Allahyarham (Nik Abdul Aziz) baru meninggal dunia, tidak sesuai tetapi apabila ditanya (oleh wartawan) saya jawab".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain