suria

Usah Jadikan Tanah Suci Syurga Membeli-Belah

Pelbagai barangan boleh dibeli di dalam Hotel Hilton di Makkah.

ASSALAMUALAIKUM. Deretan bazar di dalam premis hotel dan kaki lima di Tanah Suci Makkah dan Madinah sering menjadi perhatian umat Islam yang mahu mengerjakan umrah dan ibadat haji.

Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Selesai menyempurnakan umrah, maka ramai yang merebut peluang untuk berbelanja.

Namun awas, jangan leka berbelanja kerana niat, tujuan dan matlamat asal ke Makkah dan Madinah adalah untuk beribadat dan berziarah. Justeru, beringat ketika membeli-belah kerana bimbang lebihan bagasi boleh mengundang permasalahan sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Tidak dinafikan memang sukar untuk kita menolak kemungkinan tidak berkunjung ke deretan bazar yang menawarkan pelbagai barangan menarik dengan harga berpatutan dan rendah tetapi perlu diingatkan, barangan itu juga kini boleh didapati di negara sendiri.

Jubah bergantungan menjadikan jemaah semakin mengelak daripada membeli.

Bukan sahaja jemaah wanita rambang mata melihat pelbagai barangan yang dijual, malah jemaah lelaki juga terpesona melihat jubah, kopiah, tasbih,  jam tangan dan cincin di Tanah Suci Makkah serta Madinah.

Justeru, ketika bakal tetamu Allah menghadiri kursus umrah, penceramah kadangkala berseloroh dan mengatakan selepas jemaah tawaf Kaabah, mereka akan tawaf kedai untuk melontar Riyal.

Begitulah hakikat setelah kita sampai di dua kota suci itu. Murah dan mudah untuk berbelanja.

Hatta, sekembali dari solat fardu, ramai peniaga kecil yang akan melaung-laungkan harga jubah dan barangan jualan mereka, manakala sebahagian besar kedai-kedai di kaki lima turut dibuka sehingga menjadikan jemaah rambang mata.

Bazar di sekitar Madinah

“Lihat dulu, lihat dulu…Marhabah….” Itu antara kata-kata yang sering kita dengar apabila berkunjung ke Tanah Suci dan melalui deretan kedai di kaki lima atau premis perniagaan di paras bawah hotel yang tersergam di sekitar Masjidil Haram seperti Safwa Royale Orchid, Hotel Hilton dan Zamzam Tower.

Pengalaman sebagai petugas umrah turut mencuit perasaan saya apabila menulis mengenai topik membeli-belah di Tanah Suci. Lazimnya, jemaah yang kali pertama mahu menunaikan umrah akan bertanya jumlah wang tunai yang akan dibawa dan adakah kad kredit diterima di Tanah Suci.

“Hajah, berapa yang perlu saya bawa nanti untuk belanja di sana?” soal Sal ketika bertemu saya seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Sal kali pertama pergi Makkah kan? Saya rasa cukup RM1,000 untuk duit kocek,” balas saya ringkas.

“Terima kasih hajah. Boleh beli macam-macam kan di sana,” tanya Sal lagi yang kelihatan begitu teruja.

“Insya Allah boleh,” balas saya.

“Elok tukar duit riyal di mana hajah? Di sini atau di sana?” soal Sal semula.

“Sal tukar di Kuala Lumpur RM200 atau RM300. Selebihnya Sal boleh tukar di Tanah Suci. Jangan bimbang, ada banyak penukar wang di Makkah dan Madinah,” balas saya lagi.

“Terima kasih hajah. Saya minta diri dulu,” ucap Sal penuh ceria.

Pelbagai corak tudung dan selendang menarik perhatian ramai.

Sal adalah antara 90 lagi jemaah umrah yang akan mengerjakan ibadat itu pada 2011. Beliau pergi bersama-sama tiga lagi saudara-maranya.

Di Madinah, saya jarang ternampak Sal kerana sibuk dengan jemaah yang lebih berusia dan kadangkala menghadapi kesulitan kecil. Jika terjumpa pun kadangkala di dewan makan atau sekembali dari masjid.

Seperti biasa, di Madinah, ramai jemaah berbelanja di ladang tamar dan deretan bazar sekeliling Masjid Nabawi dan Bin Dawood. Di ladang tamar, jemaah selalunya membeli ajwa, ambar, coklat, tamar, kismis dan kekacang. Tidak kurang juga yang membeli minyak zaitun dan habbatus sauda, selain tamar muda di sekitar Masjid Quba.

Jemaah juga kadangkala mudah tertarik dengan jubah lelaki dan wanita, sejadah, minyak wangi dan cincin di Madinah. Ada yang berpendapat barangan di Madinah lebih murah dan cantik berbanding di Makkah.  Hakikatnya, kedua-dua kota suci itu mempunyai kelebihan tersendiri.

Lazimnya, saya membeli tamar dan bahan makanan di Madinah tetapi mencari jubah di Makkah. Bergantung kepada selera masing-masing. Mungkin indah di mata saya, tetapi tidak pada pandangan orang lain. Terpulanglah kepada diri sendiri.

Sayugia diingatkan, kurma di ladang tamar jauh lebih baik dari di pasar kurma kerana lazimnya, kurma di pasar tamar disimpan berbulan-bulan manakala di ladang pula, anda berpeluang membeli yang lebih segar serta berkualiti.

Pasar tamar sentiasa dinantikan jemaah sebagai ole-ole untuk dibawa pulang.

Ketika menziarahi Jabal Uhud di Madinah, ramai jemaah berminat membeli akar Siti Fatimah dan pelbagai daun-daun kering yang dipercayai baik untuk kesihatan. Ramai peniaga di situ menjual rempah ratus dan makanan kesihatan seperti hati unta dan daun pudina (nakna) yang dikeringkan.

Bagi jemaah yang sudah beberapa kali berkunjung ke Tanah Suci, pesanan daripada kenalan dan rakan diberi keutamaan tetapi jika kali pertama menunaikan umrah, barangan dibeli untuk diri sendiri dan waris terdekat.

Pada suatu malam di Makkah, saya terserempak dengan Sal dan seorang saudaranya sekembali dari menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjidil Haram. Beliau duduk mencangkung di tepi jalan. Mulanya saya tidak perasan Sal sehinggalah dia menyapa saya.

“Hajah, hajah. Nak cakap sekejap. Boleh ke?” soal Sal sambil menguis batu-batu kecil di tepi jalan.

“Kenapa Sal? Boleh. Cakaplah.” Balas saya ringkas.

“Masa di Kuala Lumpur dulu, hajah cakap bawa RM1,000 cukup untuk belanja tapi sebenarnya tak cukuplah hajah. Duit saya dah nak habis,” ujar Sal agak muram.

“Hah duit awak dah habis ke? Awak beli apa?” soal saya tersenyum.

“Dah beli macam-macam hajah di Madinah. Saya beli kurma dan jubah. Kurma mahal juga di Madinah,” balas Sal lagi.

“Awak mesti beli banyak ni. Ada duit lagi tak sekarang ni,” tanya saya.

“Ada tapi tinggal sikit saja. Di Makkah pun macam-macam ada. Nak juga belanja di Makkah. Macam mana nak keluarkan duit hajah? Boleh keluarkan duit tak di sini, saya bawa buku Tabung Haji,” ujar Sal terus.

“Jika awak ada akaun Rajhi boleh keluarkan duit di sini. Kalau bawa buku kena pergi pejabat Tabung Haji tetapi sekarang bukan musim haji. Cubalah bincang dengan saudara-mara. Mungkin boleh bantu awak,” ujar saya melontarkan cadangan.

“Baiklah hajah. Terima kasih. Maaf hajah ambil masa hajah,” balas Sal dengan nada perlahan.

“Ok. Sama-sama. Saya balik dulu,” pinta saya untuk pulang ke Hotel Saraya Ajyad dan memantau jemaah di dewan makan.

Selesa berbelanja di Tanah Suci menyebabkan ramai jemaah yang rambang mata.

Sambil berjalan sendirian saya terfikir mengenai Sal. Adakah dia mahu meminjam duit saya kerana mengadu pada saya perihal duitnya yang semakin susut. Namun, tidak terlintas pula saya bertanya terus kepada Sal jika dia hendak meminjam sedikit wang saya.

Bagaimanapun, Sal tidak pula menyuarakan keinginan untuk meminjam wang walaupun berjumpa saya selepas itu. Mungkin dia sudah berbincang dengan saudara-maranya dan mereka setuju membantunya.

Alhamdulillah, saya lihat Sal tidak lagi berwajah muram malah ceria sehingga pulang ke tanah air.

Malah, beberapa hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur, saya terlihat Sal dan saudara-maranya turut membeli cenderahati di Makkah.

Setiap kali terfikir mengenai Sal, saya tertawa di dalam hati. Lucu tetapi itulah yang dihadapi oleh sebahagian besar jemaah umrah.  Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi berani untuk mengatakan jumlah yang perlu dibawa untuk berbelanja kerana bimbang jumlah disarankan tidak mencukupi di Tanah Suci.

Hakikatnya, bukan tidak boleh berbelanja tetapi biarlah berpada-pada! Ingat, kita perlu berhemah ketika berbelanja. Beli yang perlu dan bukan mengikut hawa nafsu kerana matlamat asal ke Tanah Suci perlu diperkemas iaitu untuk beribadat dan berziarah.

bazar, ziarah, umrah, Riyal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain