suria

Lelaki Bangladesh Dibakar Wanita Indonesia Meninggal Dunia

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Bangladesh yang melecur selepas dibakar oleh seorang wanita warga Indonesia di sebuah tapak pembinaan, Rabu lepas, meninggal dunia, Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Raju, 32, mati pada pukul 3.45 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bukit Mertajam di sini.

"Mangsa melecur 80 peratus di badannya akibat kejadian itu dan sejak dirawat di ICU hospital berkenaan, dia dalam keadaan koma.

"Doktor yang merawat lelaki itu memaklumkan mangsa meninggal dunia berikutan kecederaan serius di seluruh badannya akibat terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, seorang lelaki warga Bangladesh melecur di beberapa bahagian badan akibat dibakar oleh seorang wanita di tapak pembinaan berhampiran Pasar Awam Kampung Baru di sini Rabu lepas.

Ketika kejadian, lelaki berkenaan dan rakan senegaranya menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di tapak pembinaan itu sebelum ditahan wanita terbabit.

Sebaik sahaja mereka berhenti, wanita itu terus menyimbah sejenis cecair dipercayai petrol ke arah mereka serta menyalakan api pada sehelai kain dan melemparnya ke arah dua lelaki itu.

Sementara itu, Rusli berkata wanita berusia 36 tahun yang ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian itu masih direman sehingga 18 Februari bagi membantu siasatan.

"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan kami menyiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Lain