suria

PKR, DAP Mahu Lihat Rang Undang-Undang Hukum Hudud PAS

SHAH ALAM: PAS perlu membentangkan rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Ahad ini sebelum ia dibawa ke Parlimen bulan depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR dan DAP perlu menelitinya terlebih dahulu kerana tidak diberikan peluang untuk melihat pindaan rang undang-undang tersebut sebelum ini.

"Kita nak teliti dahulu sebab kita tak lihat lagi rang undang-undang itu. Kita dah minta dan sampaikan kepada PAS Pusat, kalau boleh jika dah siap ia dibawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Ahad ini," katanya.

Pada Rabu, Kerajaan negeri Kelantan bercadang membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bulan depan bagi mendapatkan kelulusan beberapa pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan membolehkan ia melaksanakan hukum hudud dan qisas di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkenaan pindaan kanun tersebut yang dijadualkan pada 29 Disember lalu terpaksa ditangguhkan berikutan banjir melanda negeri itu.

Mohd Amar memberitahu, antara tujuan rang undang-undang persendirian itu dibentangkan ialah bagi meminta kelulusan Parlimen untuk menaikkan had hukuman supaya memenuhi kehendak al-Quran dan sunnah.

Malah, Anwar memberi jaminan bahawa PAS dan DAP yang bercanggah pendapat mengenai pelaksanaan hukum hudud mempunyai ruang untuk menyatakan pendapat masing-masing berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun mengelak untuk menyatakan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai hukum hudud sebaliknya berkata, soal perumahan, kebajikan dan kemiskinan serta bantuan pasca banjir di Kelantan tetap menjadi keutamaan.

"Itu hak mereka. Ada yang setuju ada yang membantah tetapi ada ruang untuk perbincangan seperti yang dipersetujui pada 2010. Kita tak boleh nafikan hak PAS untuk bentangkannya (hukum hudud)... kita juga hormati pendirian DAP.

"Tapi dalam hal ini kita tahu apa yang akan diterima apa yang ditolak... lebih baik kita teliti dulu," katanya.

Anwar berkata mesyuarat pada Ahad ini juga menjadi platfrom terbaik kepada Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut antara PAS dan DAP yang tercetus akibat isu pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perbalahan yang berterusan akan jadi masalah dan rakyat akan beri tanggapan tidak baik terhadap Pakatan Rakyat. Jadi masalah ini perlu ditangani," katanya.

PKR, DAP, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain