suria

MyEG: Sesi Rundingan Meja Bulat Ditangguh

Sesi rundingan meja bulat yang dianjurkan oleh MyEG yang dihadiri persatuan majikan dan wakil majikan di Dewan Seri Melati, Perbadanan Putrajaya di Putrajaya, Jumaat.

PUTRAJAYA: Sesi rundingan meja bulat berhubung proses memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian pada Jumaat yang sepatutnya menjadi medan untuk menyelesaikan masalah berbangkit terpaksa ditangguhkan.

Penangguhan itu dibuat selepas persatuan majikan dan wakil majikan menegaskan supaya sesi yang dianjurkan oleh penyedia perkhidmatan itu, MyEG Service Bhd (MyEG) perlu melibatkan kerajaan sebagai pembuat dasar.

Selain kerajaan, sesi itu perlu melibatkan MyEG sebagai penyedia perkhidmatan dan Jabatan Imigresen sebagai agensi pelaksana.

Sesi perbincangan itu dianjurkan MyEG di Dewan Seri Melati, Perbadanan Putrajaya di sini yang dihadiri kira-kira 35 persatuan majikan dan wakil majikan.

MyEG diwakili pengarah eksekutifnya, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha dan manakala Jabatan Imigresen oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Abdul Razak Abdul Ghani.

Raja Munir berkata, berdasarkan pandangan hadirin, sesi rundingan meja bulat itu sepatutnya turut dihadiri wakil-wakil berwajib berikutan banyak perkara yang dibangkitkan wakil majikan melibatkan dasar kerajaan.

Katanya, antaranya membabitkan isu caj RM38 yang dikenakan bagi setiap permohonan yang dibuat secara dalam talian.

“MyEG ini hanya sebagai penyedia perkhidmatan. Apa yang dalam perjanjian, apa yang dipersetujui, itulah yang kita sediakan.

“Ramai yang hadir pada sesi ini mahu berbincang tentang perkara-perkara yang menyentuh dasar. Memandangkan kita tidak mendapatkan kehadiran daripada wakil-wakil berwajib maka mereka minta tangguhkan sesi ini ke tarikh yang lain.

“Ini supaya sesi yang kedua akan diadakan nanti dapat ditimbulkan sebarang isu dan mencari jalan penyelesaiannya sekali gus,” katanya kepada mStar Online selepas sesi rundingan itu di sini, Jumaat.

Raja Munir berkata, sesi kedua itu diharapkan dapat diadakan pada minggu depan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen.

Rata-rata persatuan majikan dan wakil majikan yang hadir ke sesi rundingan meja bulat pada Jumaat menyokong penuh sistem dalam talian MyEG yang membantu memudahkan urusan majikan dalam memperbaharui PLKS untuk pekerja asing mereka.

Bagaimanapun Raja Munir berkata, kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM38 dipersoalkan dan majikan mahu pihak kerajaan mendengar suara mereka bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Saya harap semua pihak boleh bertemu, bincang dan cari jalan yang terbaik. Kita cuba untuk mengadakan sesi yang ditangguhkan ini pada minggu depan,” katanya.

Selain caj RM38, banyak perkara lain yang berbangkit dalam pelaksanaan baharu melalui sistem MyEG seperti penutupan kaunter di pejabat imigresen bagi membuat permohonan secara manual.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen memutuskan untuk membuka semula kaunter sementara waktu sehingga tamat tempoh peringkat pembuktian konsep (POC) sistem baharu itu pada 28 Februari depan selepas mempertimbangkan rungutan majikan berhubung sistem dalam talian itu mengenakan caj RM38 bagi setiap permohonan selain pengumuman yang dibuat 'secara mengejut', sekali gus membebankan mereka.

Namun pada masa sama, proses permohonan melalui sistem dalam talian MyEG tetap dibuka kepada majikan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain