suria

Rangka Kerja Kawal Selia, Tadbir Urus Korporat Malaysia Cemerlang - Kajian

KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki rangka kerja kawal selia dan tadbir urus korporat yang cemerlang, kata satu laporan tadbir urus korporat.

Pengarah BPA Australasia, Chris Bennett berkata, Malaysia bagaimanpun perlu berusaha mengatasi persepsi salah mengenai amalannya.

"Pengawal selia mesti meneruskan usaha mereka. Secara umumnya orang ramai bersetuju yang Malaysia sudah mempunyai rangka kerja kawal selia yang cemerlang.Malaysia tidak perlu berasa ia tidak memenuhi standard, kerana ia sudah pun memenuhinya," kata Bennett kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata, demikian selepas membentangkan kajiannya bertajuk 'Menginsurans Masa Depan: Meningkatkan Tadbir Urus Korporat Syarikat Insurans Utama Asia-Pasifik', yang dihasilkan secara bersama dengan Pengarah Penyelidikan Serantau Universiti Nasional Singapura, Prof Mak Yuen Teen.

Yuen Teen berkata, Malaysia terjejas sedikit daripada isu persepsi yang dianggapnya tidak adil.

"Di segi tadbir urus korporat, Malaysia cemerlang dalam pembangunan pengarah profesional berbanding negara lain di Asia," katanya.

Mengenai kajian tadbir urus korporat, Mak berkata, syarikat insurans di Asia-Pasifik mesti berusaha ke atas pendedahan ganjaran, penilaian prestasi pengarah serta pendedahan kaedah dan kriteria.

"Jika syarikat terbabit cemerlang, terutama mengenai penilaian prestasi pengarah, ia akan menjadi penyumbang penting kepada keberkesanan lembaga pengarah," katanya.

Kajian itu, diterbitkan oleh Pusat Tadbir Urus dan Kepemimpinan Iclif meliputi 50 syarikat insurans tersenarai terbesar di Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Singapura,  Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Artikel Lain